Penjawat awam merokok tidak layak mendapat APC

PENJAWAT awam yang tidak merokok layak dipertimbangkan untuk menerima Anugerah Khidmat Cemerlang Negeri Sembilan. – Gambar hiasan

SEREMBAN – Tidak merokok dan memiliki indeks jisim badan (BMI) yang unggul mungkin menjadi kriteria dalam pemilihan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang di Ne­geri Sembilan dalam kalangan penjawat awam.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan (gambar kecil) berkata, langkah itu bukan bersifat menindas tetapi dilihat lebih adil dalam memastikan hanya kakitangan yang boleh dicontohi layak menerima anugerah itu.

“Saya hendak membuat satu cadangan bagi membolehkan penjawat awam di Negeri Sembilan yang layak menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang mestilah bukan daripada kalangan perokok tetapi memiliki BMI yang baik,” katanya pada sidang akhbar sempena Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Anugerah Medan Selera Peringkat Negeri Sembilan di sini semalam.