Berita baik untuk pengarah dan pegawai PPD, KPM minta percepat kenaikan gaji

Berita baik untuk pengarah dan pegawai PPD, KPM minta percepat kenaikan gaji

ISKANDAR PUTERI - Kementerian Pendidikan berharap gred jawatan sebahagian Pengarah Pendidikan negeri dan Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dinaikkan daripada Gred Jawatan Utama Sektor Awam (Jusa) C kepada Jusa B.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berhubung perkara berkenaan.

Menurutnya, jawatan sebahagian Pengarah Pendidikan negeri boleh diangkat daripada Gred Jusa C kepada B.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Medini, Iskandar Puteri gembira meraikan Hari Guru Peringkat Kebangsaan ke-46/2017 di Kompleks Sukan Educity, semalam.

"Berdasarkan jumlah guru di negeri ini yang ramai dan ditadbir urus oleh Pengarah Pendidikan negeri, maka kenaikan gred ini boleh dimulakan di Johor.

“Begitu juga dengan jawatan pegawai PPD yang ada di seluruh negara.

"Kalau boleh kita minta kenaikan gred ini dipercepatkan,” katanya selepas berucap pada Majlis Pelancaran Hari Guru Peringkat Kebangsaan ke-46/2017 di sini, semalam.

Majlis yang dihadiri guru dari seluruh negara itu disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Hadir sama, Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.